Pusat Ehsan terima sumbangan derma





Oleh : Mohammad Khairul Hisyam Jaya / Foto : Ak. Mohd Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman





 

BENGKURONG, Rabu, 30 Julai. - Print Plus Sdn. Bhd. dengan kerjasama Darussalam Assets Sdn. Bhd. pagi tadi mengadakan Majlis Penyerahan Derma hasil kempen amal sempena Hari Raya sebanyak BND3,134 yang berlangsung di Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.


Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Yang Mulia Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid, merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Darussalam Assets Sdn. Bhd.


Turut hadir, Pemegang Amanah Eksekutif Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Pengiran Datin Hajah Noraini binti Pengiran Dipa Negara Laila Diraja Pengiran Haji Momin; Pengurus Besar Print Plus Sdn. Bhd., Awang Muhammad Reeda bin Haji Malik; serta warga kerja Darussalam Assets dan Pusat Ehsan.


Jumlah kutipan derma tersebut telah disampaikan oleh tetamu kehormat majlis kepada Pemegang Amanah Eksekutif Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.


Derma berkenaan adalah hasil daripada tempahan kad dan sampul hari raya rekaan khas yang dibuat oleh para pelajar Sekolah Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.


Tempahan tersebut dibuat oleh syarikat-syarikat di bawah Darussalam Assets dan Kumpulan Syarikatnya sebagai sebahagian daripada usaha amal mereka.


Syarikat-syarikat yang terlibat termasuk Berakas Power Company Sdn. Bhd., Darussalam Assets Sdn. Bhd., Royal Brunei Culinary Sdn. Bhd. dan Unified National Networks Sdn. Bhd.


Keseluruhan hasil kutipan akan disalurkan untuk menyokong usaha Sekolah Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam dalam memperluas kemudahan dan perkhidmatan sokongan mereka sebagai institusi yang memberi tumpuan kepada pendidikan khas.


Close